SELAMAT DATANG KE BLOG CAKNA BAHASA MELAYU...

Monday, December 19, 2011

Bank Soalan 2





BAHAGIAN A (i)
[Masa dicadangkan : 40 minit]
[20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang fungsi-fungsi sukan. Panjang karangan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

            Memang tidak dapat disangkal bahawa sukan memainkan peranan penting dalam membentuk kesihatan tubuh yang paling berkesan. Namun demikian, fungsinya kini sudah jauh ke hadapan. Sukan kini telah menjadi satu aset bagi sesebuah negara dalam mempelopori kemasyhuran. Hal ini terbukti apabila banyak negara yang masyhur kerana kejayaan dalam sukan. Ternyata sukan dapat membantu untuk mengharumkan nama negara di persada dunia. Malaysia juga kini telah lebih dikenali kerana pencapaian yang cemerlang dalam sukan badminton, skuasy, hobi, dan sebagainya.

            Dari segi ekonomi, sukan juga menguntungkan industri pengiklanan. Syarikat-syarikat berlumba-lumba untuk membuat liputan secara langsung sesuatu acara sukan dan tidak ketinggalan juga syarikat pengiklanan yang tidak putus-putus mahu menjadi penaja utama. Semuanya ini bertujuan untuk kebaikan semua pihak baik media dan syarikat pengiklanan yang mahu membuat promosi barangan atau perkhidmatan mereka.

            Bagi negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum seperti Malaysia, sukan dapat digunakan sebagai alat integrasi atau menyatupadukan masyarakat. Ketinggalan sukan yang melibatkan pelbagai kaum dan etnik menyediakan peluang untuk mereka sentiasa bekerjasama, salingf memahami dan menyemai konsep memerlukan antara satu sama lain. Dengan itu, dapat memupuk semangat kesukanan yang kuat sesama mereka sekali gus mengeratkan perpaduan dan mengikis aspek negatif ke arah keharmonian negara.

            Jalinan politik antara negara juga dapat dikukuhkan dengan pelbagai temasya sukan yang dianjurkan seperti Piala Dunia, Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Sea dan tidak kurang juga temasya sukan di peringkat kebangsaan seperti Sukma yang telah pun berakhir beberapa hari yang lalu. Begitu juga dengan perlawanan bola sepak antara pasukan MyTeam menentang pasukan Kebangsaan. Jalinan dua hala dapat dibentuk dengan semangat sukan jitu. Soal menang atau kalah bukanlah perkara yang menjadi tumpuan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Perubahan
Fungsi Sukan” oleh Shahril Anuar Abdul Ghalim
Dalam Utusan Malaysia, 7 Jun 2006)






BAHAGIAN A (ii) : Pemahaman
[10 markah]


Berdasarkan petikan Bahagian A, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


(i)                 Apakah  maksud  rangkai kata liputan secara langsung?
[2 markah]

(ii)               Berdasarkan  petikan, bagaimanakah sukan  menyatupadukan masyarakat?
[4 markah]

(iii)             Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan supaya Malaysia mampu mencipta kejayaan cemerlang dalam bidang sukan?
[4 markah]


























No comments:

Post a Comment

Cakna Bahasa 2011 © Hak Cipta Terpelihara
Direka Khas Oleh Mazlie Muhammad | Nor'isam Md Noor | Muhamad Shahir Abu Bakar | Amri Tomin | Mohd Saiful Faizal Mohd Zin