SELAMAT DATANG KE BLOG CAKNA BAHASA MELAYU...

Monday, December 19, 2011

Latihan 6

Bahagian A (i) : Ringkasan
[20 markah]







Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang manfaat KOMSAS kepada murid. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Bidang sastera telah lama bertapak di dunia ini. Bidang sastera negara juga telah lama berkembang. Pengajaran dan pemelajaran sastera (KOMSAS) dalam Bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam membantu murid untuk mengenali warisan sastera. Warisan itu harus dikekalkan agar tidak lenyap ditelan zaman. Dunia tanpa sempadan yang menyerang masyarakat kini mampu menghakis warisan itu sedikit demi sedikit jika kita tiada kesedaran untuk memeliharanya mulai sekarang.

KOMSAS mampu membentuk jati diri murid secara tidak langsung. Mereka dapat membentuk jati diri yang berkualiti daripada mesej yang tersirat dan tersurat di balik karya penulis. Umpamanya, murid dapat memupuk semangat cinta akan negara apabila membaca karya tentang perjuangan membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah. Oleh hal yang demikian, semangat patriotisme dapat disemai dalam jiwa murid. Kewujudan KOMSAS memberikan banyak faedah kepada murid. Mereka dapat meningkatkan pengetahuan, terutamanya tentang sejarah yang turut diselitkan dalam karya sastera. Selain itu, murid dapat mempelajari teknik untuk menghasilkan karya kreatif yang baik. KOMSAS juga dapat memupuk minat membaca dalam kalangan murid. Ada banyak bahan bacaan dalam pelbagai genre sastera yang dimuatkan dalam antologi yang diajarkan di sekolah.

Nilai murni dan pengajaran yang diselitkan dalam teks KOMSAS pula dapat dijadikan sebagai pegangan hidup. Secara tidak langsung, murid yang berakhlak mulia dapat dilahirkan. Mereka juga dapat meningkatkan penggunaan bahasa yang betul dan mengenali perkataan yang baharu. Malahan, KOMSAS dapat memperkenalkan murid kepada penulis dan sasterawan negara. Memang menyedihkan apabila remaja kini tidak mengenali sasterawan negara. Kehadiran KOMSAS dapat memperkenalkan penulis mapan yang telah
banyak berjasa dalam dunia penulisan negara kepada murid. Usaha dan jasa penulis tersebut harus dikenang sepanjang zaman kerana berkat perjuangan mereka, bahasa dan sastera negara masih bernyawa hingga hari ini biarpun diancam globalisasi. Keunikan sastera harus dipelihara agar kekal buat selamalamanya. Tuntasnya, KOMSAS relevan untuk diajarkan kepada murid.


(Dipetik dan diubahsuaikan daripada KOMSAS Membantu Murid Mengenali Sastera, Mohd Haniff Mohammad Yusoff, Pelita Bahasa,  Mac 2011)




Bahagian A (ii) : Pemahaman
[10 markah]

Berdasarkan petikan Bahagian A(i), jawab soalan-soalan berikut dengan
menggunakan ayat anda sendiri.

1.. Berikan maksud rangkai kata lenyap ditelan zaman .
[2 markah]

2. Berdasarkan petikan, apakah faktor-faktor yang dapat menghakis warisan sastera?
 [4 markah]

3.Pada pendapat anda, apakah masalah yang timbul semasa pengajaran dan pemelajaran KOMSAS di sekolah? [4 markah]

No comments:

Post a Comment

Cakna Bahasa 2011 © Hak Cipta Terpelihara
Direka Khas Oleh Mazlie Muhammad | Nor'isam Md Noor | Muhamad Shahir Abu Bakar | Amri Tomin | Mohd Saiful Faizal Mohd Zin