SELAMAT DATANG KE BLOG CAKNA BAHASA MELAYU...

Monday, December 19, 2011

Bank Soalan 3




Bahagian A ( i ) - Ringkasan

[ 20 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang sebab-sebab golongan remaja terlibat dengan gejala buli. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya  menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
           
Golongan remaja merupakan aset negara yang amat berharga. Golongan ini bakal menjadi pewaris kepimpinan negara dan seterusnya meletakkan negara Malaysia ke mercu kecemerlangan. Persoalannya, mampukah para remaja memikul tanggungjawab tersebut. Lihat sahaja jenayah yang mereka lakukan. Saban hari ada sahaja kes - kes terpampang di dada- dada  akhbar.

     Kegiatan salah laku  remaja bukan sahaja berlaku di luar waktu sekolah, bahkan telah menular ke dalam sekolah. Terdapat dalam kalangan mereka yang  tidak boleh dikawal lagi oleh guru-guru dan ibu bapa sehingga mengakibatkan berlakunya keciciran dalam pelajaran.

     Terdapat banyak faktor mengapa golongan remaja terlibat dengan gejala yang tidak bermoral ini. Sebagaimana diketahui umum, pengaruh media massa kini semakin sukar untuk dikawal pengedarannya. Banyak agenda yang berbentuk keganasan ditonjolkan sehingga mempengaruhi para remaja. Begitu juga pengaruh perbandaran yang semakin cepat menular ke kawasan luar bandar. Kemudahan perhubungan dan pengangkutan yang semakin baik memudahkan penularan budaya yang tidak sihat. Akibatnya golongan  remaja  di kawasan luar bandar akan mudah terpengaruh.

     Sikap ibu bapa yang hanya mementingkan kebendaan turut menyumbang kepada salah laku remaja. Ibu bapa tidak mempunyai masa yang cukup serta selalu balik lewat menyebabkan mereka gagal mendidik atau memberi kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak mereka. Terdapat juga segelintir ibu bapa yang memberi kebebasan kepada anak – anak. Kesempatan ini telah digunakan oleh anak – anak mereka melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak di pusat beli – belah, dan pusat hiburan. Remaja yang suka melakukan aktiviti ini akan cuba mempengaruhi rakan – rakan yang lain. Akibat pengaruh rakan sebaya, akan menjurus kepada pembentukan kumpulan gangster dan kumpulan samseng dalam kalangan remaja. Remaja tersebut akhirnya melakukan jenayah seperti peras ugut dan penagihan dadah.

     Sikap sesetengah guru yang kurang memberi perhatian dalam menangani kes disiplin di sekolah turut mendorong kepada berlakunya gejala buli. Kurangnya tindakan disiplin, pelajar bebas dan sanggup melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati mereka.

        (Dipetik dan diubahsuaikan daripada Pendidik Bil 18--2005)







Bahagian A (ii) -  Pemahaman

[ 10 markah ]


Berdasarkan petikan Bahagian A ( i ), jawab soalan – soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


1
Berikan maksud   terpampang di dada-dada  akhbar.          
[ 2 markah]

2
Berdasarkan petikan, apakah faktor utama seseorang remaja 
melakukan jenayah?
[4 markah]

3
Pada pendapat anda, apakah peranan yang boleh dilakukan 
oleh ibu bapa untuk mengatasi jenayah dalam kalangan remaja?
[4 markah]



























No comments:

Post a Comment

Cakna Bahasa 2011 © Hak Cipta Terpelihara
Direka Khas Oleh Mazlie Muhammad | Nor'isam Md Noor | Muhamad Shahir Abu Bakar | Amri Tomin | Mohd Saiful Faizal Mohd Zin